20 January 2008

bubur asyura

Saya tidak berapa mengenali bubur ini, sehinggalah saya turut serta mengacau bubur ini dalam kawah besar di SESTER dulu. Mungkin saya pernah melihat sebelumnya tetapi saya menolak untuk merasa. Biasalah, ape yang kita tidak tahu, kita lebih cenderung untuk menolak.

10 Muharram atau disebut hari asyura biasanya masyarakat kita bersama-sama memasak bubur asyura. Sewaktu di SESTER selama dua tahun itulah kali pertama dan terakhir saya merasakan meriahnya mengacau bubur asyura. Tahun ini teringin pula hendak merasa, tapi masih tidak kesampaian. Mungkin ia telah menjadi adat masyarakat melayu Islam memasak bubur asyura yang mana merujuk kepada peristiwa Nabi Nuh a.s berlabuh di bukit Juudi pada 10 Muharram.

Nabi Nuh berkata kepada umatnya:
"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih, maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila' iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas dan Ba'ruz dan tepung dan kacang Hinthoh sehingga menjadi tujuh jenis biji bijian yang dimasak."

Kemudian berkata lagi Nabi Nuh a.s:
"Maka berkata Nabi Nuh as : Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang".

Asal-asal daripada kisah ini, kebanyakan orang Islam memasak bubur asyura pada 10 Muharram. Saya kurang setuju untuk mengatakan ia adalah adat, sekurang-kurangnya Muslimin akan mengingati peristiwa berlabuhnya kapal nabi Nuh a.s dan kemudiannya diceritakan kepada generasi baru. Saya mengambil iktibar daripada apa yang ibu saya ceritakan setiap tahun. Dan semalam saya masih lagi mendengar cerita yang sama sebagai tazkirah buat saya.

Ape yang dikatakan adat, boleh juga menjadi suatu ibadat andainya acara memasak beramai-ramai dapat mengeratkan silaturrahim dan bagi anak-anak muda pula akan cenderung untuk bertanya sirah di sebalik acara ini. Ia boleh menjadi satu penghayatan buat ummat muda masa kini yang rata-rata langsung tidak berminat dengan sirah Nabi-nabi di zaman dahulu.

Jika diingat kembali kisah ummat Nabi Nuh a.s dimana Allah mendatangkan banjir besar memusnahkan mereka. Mereka menjadi kaum pertama yang dimusnahkan secara massal oleh Allah.

"Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya).”
(Al-a'raf : 64)

Maka tidak salah jika masyarakat meneruskan majlis memasak bubur ayura beramai-ramai, walaupun saya belum pernah melihat dengan mata sendiri mana-mana masyarakat luar yang mengadakan majlis ini. Mungkin kerana keterbatasan saya yang tinggal di hostel sejak lima tahun lalu. Tapi sekarang saya betul-betul nak merasa bubur asyura tahun ini. Isk...

Wallahu'alam.

[sekadar membersihkan sawang di blog (^_~) ]

1 comment:

As said...

kisah ini disebutkan dalam kitab Nihayatuz Zain (halaman 196 Syeikh Nawawi Al-Banteni), Kitab Nuzhatul Majalis (halaman 172 Syeikh Abdur Rahman Al-Ushfuri), Kitab Jam'ul Fawaid ( halaman 132 Syeikh Daud Al-Fathoni)